Ayuh!Dapatkan Ayuh!

Privasi · dikemas kini 2026-11-04

Dasar Privasi Ayuh!

Ayuh! dibina supaya tidak perlu tahu siapa anda. Tiada akaun, tiada nama, tiada nombor telefon. Halaman ini menyenaraikan apa yang dihantar ke pelayan Ayuh!, kenapa ia diperlukan, dan berapa lama ia disimpan. Dasar ini mengikut prinsip Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA): kumpul sesedikit mungkin, untuk tujuan yang dinyatakan sahaja.

01Apa yang kami kumpul, dan kenapa

ID pemasangan rawak
Nombor rawak dibuat oleh app semasa dipasang (bukan IMEI, bukan ID Google). Pelayan hanya menyimpan cincangannya (SHA-256), untuk mengira berapa ramai guna Ayuh! setiap hari dan untuk mengelak satu telefon mengundi atau melapor berulang kali. Kiraan harian dipadam selepas 35 hari.
Laporan jalan
Jenis laporan (kemalangan, polis, banjir …), lokasinya, nota dan gambar jika anda tambah. Supaya pemandu lain nampak. Dipadam sendiri selepas 48 jam.
Trafik tanpa nama
Jika "Kongsi trafik" dihidupkan: petak jalan, arah dan kelajuan sahaja (tanpa ID), supaya kesesakan boleh dikesan. Data langsung dibuang selepas sejam; yang disimpan hanyalah purata kelajuan bagi setiap jam dalam seminggu.
Kesesakan yang dikesan
Bahagian jalan yang perlahan, untuk dipaparkan kepada pemandu lain. Dipaparkan 45 minit sahaja.
Harga tol, penilaian dan cadangan tempat
Harga tol yang anda bayar, bintang bagi sesuatu tempat, dan tempat/jalan yang anda cadangkan (nama, kategori, lokasi, alamat, nota). Cadangan tempat disemak secara automatik (nama dan lokasinya dicari dalam peta Ayuh! dan Esri) dan oleh admin sebelum dipaparkan kepada orang lain.
Sembang jalan
Semasa memandu dengan laluan sahaja: nama paparan, mesej, lokasi kasar dan nama jalan sekitar (sebagai tajuk mesej), supaya pemandu berdekatan nampak. Dipadam sendiri selepas 24 jam.
Forum
Tajuk, isi, gambar jika ditambah, kategori dan negeri yang anda pilih (supaya isu dipaparkan ikut negeri). Anda boleh memadam hantaran dan komen sendiri dari dalam app. Gambar terus dipaparkan; pemandu lain boleh melaporkannya kepada admin.
Pra-daftar (laman web)
Alamat e-mel dan jenis telefon (Android atau iOS) sahaja: untuk menjemput anda menguji ikut giliran pendaftaran, dan memaklumkan anda apabila Ayuh! dilancarkan. E-mel jemputan dihantar oleh pemilik dari e-mel sendiri, dengan semua alamat tersembunyi (Bcc). Dipadam 30 hari selepas pelancaran, atau bila-bila masa anda minta.

02Diproses, tidak disimpan

Laluan dan carian
Titik mula, destinasi dan teks carian dihantar ke pelayan laluan (Valhalla) dan carian (Photon) Ayuh! untuk dijawab, dan disimpan dalam ingatan beberapa minit sahaja supaya soalan yang sama dijawab lebih cepat. Tidak ditulis ke cakera dan tidak dikaitkan dengan ID anda.
Butang "Jadi penguji" (laman web)
Laman web hanya mengira berapa kali butang ditekan (satu nombor). Alamat IP dipegang dalam memori pelayan 24 jam supaya satu telefon dikira sekali, dan tidak ditulis ke cakera. Pautan kumpulan penguji dibuka di Google.
Cuaca dan radar
Lokasi kereta (dibundarkan) untuk menyemak hujan pada radar MET Malaysia. Tidak disimpan.
Alamat IP
Dilihat oleh pelayan untuk setiap permintaan, dan diingat dalam memori sahaja untuk menyekat penyalahgunaan (alamat yang menghantar terlalu banyak permintaan disekat sejam). Tidak ditulis ke cakera.

03Yang kami TIDAK kumpul

Identiti
Nama, nombor telefon, kenalan, akaun Google atau media sosial.
Sejarah perjalanan
Perjalanan, lokasi rumah/kerja, pin dan tempat terkini kekal dalam telefon anda sahaja.
Konvoi
Lokasi, mesej dan suara Konvoi disulitkan hujung-ke-hujung dan dihantar terus antara telefon (Bluetooth atau geganti Nostr awam). Pelayan Ayuh! tidak melihatnya.
Lain-lain dalam telefon
Rakaman suara panduan anda, paras minyak, muzik dan tetapan tidak dihantar ke mana-mana.

04Perkhidmatan pihak ketiga

Peta dan data terbuka
Jubin peta OpenFreeMap, satelit Esri, data OpenStreetMap (Overpass, Nominatim) dan Overture Maps dimuat turun terus oleh telefon. Mereka menerima alamat IP dan kawasan peta yang dilihat, seperti mana-mana laman web.
Cuaca dan waktu solat
Open-Meteo dan MET Norway (cuaca di lokasi kereta), JAKIM e-Solat dan waktusolat.app (zon waktu solat), data.gov.my (bas awam).
Sandaran
Jika pelayan Ayuh! sibuk, laluan dan carian dihantar ke pelayan awam OpenStreetMap (FOSSGIS Valhalla, OSRM, Photon Komoot).
Radio
Senarai stesen dari Radio Browser (radio-browser.info); siaran dimainkan terus dari pelayan stesen radio itu. Muzik dari app lain (contoh Spotify) hanya dikawal melalui kawalan media Android, tiada data dihantar kepada kami.
Ketinggian jalan (bukit)
Jubin ketinggian AWS Terrain Tiles, atau Open-Meteo Elevation sebagai sandaran, dimuat turun untuk laluan anda bagi mengesan jalan mendaki dan menurun.

05Hak anda

Padam
Cadangan tempat anda boleh dipadam dari dalam app; laporan jalan hilang sendiri selepas 48 jam (atau lebih awal apabila pemandu lain mengundi "tiada lagi"). Untuk pra-daftar, gunakan pautan "Tarik balik" di laman web. Memadam app memadam ID pemasangan dan semua data dalam telefon.
Hubungi
Pertanyaan tentang privasi atau permintaan padam: e-mel [email protected], atau Threads @_mnxzmi98 (lihat tab "Sokong" di laman web).